Saturday, September 20, 2008

Annikaahi Sunnati

Walimatul Urus

Perkahwinan merupakan satu ibadah yang amat mulia. Islam mengatur tatacara nikah  dan walimah dalam bentuk yang sangat sederhana. Hikmah walimah sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW iaitu:

        1. Bertujuan untuk melaksanakan ibadah

        2. Menghindari daripada perbuatan membazir

        3. Mengundang fakir miskin

 Tujuan Perkahwinan

Perkahwinan merupakan sifat atau tabiat manusia yang cenderung  untuk mengadakan hubungan sesama manusia. Allah telah menjadikan  hubungan perkahwinan sebagai Sunnah para Rasul di mana ianya  akan melahirkan rasa saling cinta-mencintai, sikap saling bekerjasama dengan kebaikan dan saling bantu membantu untuk mendidik keturunan.  Melalui perkahwinan juga, manusia akan dapat mengembangkan  keturunan dan memenuhi ketenteraman jiwa kerana perkahwinan yang  harmoni dan sesuai munurut tuntutan Ilahi merupakan tempat untuk  berehat dari segi rohani mahupun jasmani.

Perkahwinan adalah suatu peristiwa yang bersejarah di mana ianya tak mudah dilupakan bagi orang-orang yang beriman.

        IJAB - penyerahan tanggungjawab dari wali calon isteri kepada calon suami.

       QABUL - tanggungjawab dari calon suami atas penyerahan itu.

Sungguhpun kalimah ini pendek namun ianya mengandungi makna yang mendalam.

 

Hikmah Perkahwinan

Islam menekankan agar keluarga dan rumahtangga menjadi sebuah pelabuhan  yang aman, kukuh bagi setiap ahli keluarga. Ianya merupakan tempat untuk membincangkan semua  hal, samada perkara gembira ataupun kesulitan yang dihadapi. Rasa aman dan  perlindungan yang dirasakan oleh anak dalam keluarga akan memberi  kepadanya kepercayaan kepada diri sendiri dalam menghadapi berbagai  persoalan dalam hidupnya. Ibubapa adalah orang pertama yang diharapkan dapat memberikan bantuan dan petunjuk dalam menyelesaikan masalah anak.  Seorang ibu adalah lambang kasih sayang, ketenangan dan juga  ketenteraman.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Kaum lelaki (suami) adalah pemimpin bagi kaum wanita (isteri)  oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atau atas  sebahagian yang lain dan disebabkan kerana para suami telah  menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu isteri yang soleh ialah yang taat kepada Allah, lagi memelihara diri ketika suaminya tidak di tempat (sebagai rasa syukur) kerana Allah  telah memelihara mereka...” (An-Nisa’:34)

Rasulullah SAW telah menghuraikan makna ayat di atas bahawa, lelaki yang paling baik akhlaknya adalah lelaki yang paling menyayangi  isterinya. Walhal Baginda sendiri membantu isterinya dalam rumahtangga. Wanita yang paling baik adalah wanita yang menyenangkan hati  suaminya apabila suaminya memandangnya. Taat bila disuruh dan pandai menjaga kehormatan dirinya dan harta benda suaminya ketika suami tiada di rumah.

Perkahwinan yang disyariatkan Islam selain daripada sebagai   keperluan fizikal, ia juga bertujuan supaya manusia mempunyai  keluarga dan keturunan yang sah serta hidup bahagia di dunia dan  akhirat. Perkahwinan adalah tugas menunaikan amanah Allah, maka baik suami mahupun isteri, niat yang pertama adalah melaksanakan  tanggungjawab kepada Allah.

 

No comments: