Saturday, September 20, 2008

Adab Perkahwinan

Adab Majlis Perkahwinan Melayu
Menurut adat resam orang Melayu, majlis perkahwinan sepatutnya diambil berat sepenuhnya. Bagi orang Melayu, majlis perkahwinan adalah peristiwa yang amat penting, bersejarah dan istimewa bukan sahaja kepada pasangan pengantin tetapi kepada ibu bapa dan ahli-ahli keluarga serta sahabat handai yang rapat.

Di antara adat-adat yang berkait rapat dengan perkahwinan termasuklah aspek-aspek merisik, meminang, bertunang, penghantaran belanja, majllis bersanding seharusnya yang paling hebat peristiwanya. Mengikut adat silam, dari segi persediaan untuk perkahwinan terdapat adat-adat berkaitan dengan berandam, berasah gigi dan berinai. Kemuncak dalam adat resam perkahwinan keseluruhannya adalah majlis bersanding.

Pada zaman dahulu, bersanding adalah satu aspek perjalanan hidup yang dijalankan oleh ibu bapa. Merekalah yang memilih teman hidup bagi anak masing-masing. Biasanya apabila ibu bapa merasai anak lelaki sudah sampai masa untuk berkahwin, mereka mula merisik untuk memilih gadis yang sesuai. Pada umumnya, ibu bapa meminta saudara mara mengesan dan mencari gadis sesuai dikahwinkan dengan anak lelaki mereka.

 

Adab Meminang
Dalam zaman moden ini, adakalanya adat resam diabaikan. Ini termasuklah dalam soal adat meminang. Adat meminang boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu Merisik dan Meminang.
 

Apabila hati seorang teruna telah berkenan pada seorang dara, biasanya dia akan menghantar wakil untuk merisik bagi menentukan sama ada si dara telah berpunya atau belum. Kadang kala semasa merisik, wakil teruna akan menyerahkan sebentuk cincin tanya. Jika pihak dara bersetuju, mereka akan menetapkan tarikh untuk masuk meminang dan seterusnya bertunang.
Apabila hari yang ditetapkan tiba, wakil teruna akan masuk meminang secara rasmi. Biasanya pihak teruna akan membawa bersama hadiah beberapa dulang hantaran termasuk sebentuk cincin atau sebagainya. Pada ketika ini, kedua-dua wakil akan menetapkan tarikh ijab kabul dan persandingan mengikut kesesuaian kedua belah pihak.
 

Namun kini, hanya adat masuk meminang sahaja yang masih diamalkan. Pada zaman teknologi maklumat ini, biasanya kedua-dua teruna dara telah berkenalan terlebih dahulu. Jadi adat merisik khabar dirasakan tidak perlu lagi. Tambahan pula ini dapat menjimatkan kos dan masa. Namun bagi sesetengah pasangan yang inginkan cara yang lebih tertib dan menyeronokkan, mereka lebih gemar mengikut adat. Sesuatu yang perlu diingat apabila anda ingin mendirikan rumahtangga ialah jangan sesekali membelakangkan ibu bapa. Mintalah pendapat dan nasihat mereka kerana restu orang tua ada hikmatnya.
 

 

Hantaran

Hantaran tidak wujud di dalam Islam. Lebih-lebih lagi barang yang digubah menjadi itik, angsa, burung dan pelbagai bentuk binatang. Ini unsur-unsur syirik yang tidak sepatutnya diamalkan oleh umat Islam. Sekiranya ingin memberi barang dengan niat ikhlas kepada bakal isteri, seeloknya diserahkan lebih awal iaitu sebelum dijalankan akad nikah. Tidak dengan beradat dulang apatah lagi dulang emas atau perak yang dilarang Islam kerana bejana (barangan atau perhiasan rumah) emas dan perak, haram umat Islam menggunakannya.
 

Tambahan pula budaya hantaran hanya akan mendatangkan kesan yang buruk jika berlaku perselisihan faham. Sekiranya hantaran diberi sebelum bernikah andai pihak gadis memutuskan perhubungan adat menetapkan pihak lelaki boleh menuntut ganti rugi dua kali ganda hantaran yang diberikan kepada bakal isteri. Ini hanya akan membebankan keluarga gadis itu..

 

 

Peminangan & Pertunangan

Peminangan dari sudut Islam dilakukan dengan tujuan untuk:
 

Mengenali sifat lelaki yang baik seperti yang dinyatakan di dalam Riwayat At-Tarmizi dan An-Nassaei;

"Sesempurna orang lelaki yang beriman, keimanannya ialah mereka yang berbudi baik dan berhemah lembut terhadap keluarganya."
 

Untuk mengenali wanita yang salih seperti yang dinyatakan di dalam firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nisa' ayat 34;

"Maka wanita yang salihin itu ialah yang taat serta tetap memelihara diri di kala ketiadaan suami dengan cara yang diajarkan oleh Allah."

Mencari isteri yang manis rupanya seperti dinyatakan Hadis Nabi di dalam Riwayat Ibnu Hibban menyatakan;

Sebaik-baik wanita ialah yang cantik, manis rupanya dan murah pula mas kahwinnya.
 

Untuk tidak melambat-lambatkan pernikahan sekiranya kedua pasangan sudah suka antara satu sama lain. Dinyatakan dalam Riwayat Al-Baihaqie;

"Tiga perkara yang tidak dapat ditangguh-tangguhkan lagi ialah solat bila tiba waktunya, jenazah yang sudah tiba dan wanita bila diperolehi sekufu (sesuai) dinikahi.

 

Namun apa yang sering berlaku ketika proses peminangan;

1. Apabila lelaki datang meminang, maka yang ditanya ibu bapa perempuan ialah kerja, pendapatan, pangkat, kereta serta harta bendanya sehingga memperlihatkan bukan ciri-ciri lelaki terbaik yang dipilih sebaliknya kebendaan.

2. Bila diterima, akan ditetapkan belanja hantaran yang memberatkan dan menjadi kemegahan sekiranya hantaran mahal bersama serba satu pakaian dan perhiasan. Dibincangkan tempoh untuk melangsungkan pernikahan. Jarang menyegerakan pernikahan sebaliknya ditangguhkan sehingga dua atau tiga tahun. Kesannya memberi peluang pasangan bergaul bebas, meminta dibelikan pakaian, perbelanjaan dan sebagainya kerana pada anggapan mereka bertunang seolah-olah sudah menjadi hak tidak rasmi.

 

 

Pernikahan

Sebaik-baiknya biarlah majlis akad nikah dilakukan di dalam masjid atau surau kerana tempat ini luas, terpelihara daripada perhiasan-perhiasan gambar atau patung yang membawa kepada unsur-unsur syirik. Selain daripada itu memudahkan lelaki untuk melakukan solat sunat nikah dan sujud syukur setelah diakad nikah dan mengelakkan percampuran antara lelaki dan perempuan.
 

Berbanding sekiranya majlis ini dijalankan di rumah, percampuran lelaki dan perempuan sukar dikawal. Lebih-lebih lagi jika rumah pengantin perempuan kecil dan sempit. Maka pada hari itu tetamu perempuan dan pengiring pengantin lelaki akan duduk di tempat majlis akad nikah itu dijalankan. Selain mengganggu pengantin lelaki, sepatutnya wanita mesti berada di dalam bilik atau di tempat yang diletakkan tirai atau sekatan supaya terlindung daripada kaum lelaki.
 

Amat mustahak calon isteri menyaksikan upacara pernikahan iaitu bersama-sama mendengar doa, takliq dan nasihat-nasihat kadi yang menikahkan. Manakala selepas upacara pernikahan seeloknya diiringi dengan majlis-majlis keagamaan seperti majlis khatam Al-Quran dan majlis berzanji bukan muzik, hiburan pancaragam atau tari-menari.

 

Serba Satu Putih Berdiri

Perkahwinan dalam adat istiadat Melayu suatu upacara panjang lebar yang penuh dengan adat istiadat. Walau sehari tidak ketemu dirasakan bagai setahun, namun adat diketepi jangan. Untuk memiliki si jantung hati harus datang beradat. Setiap hasrat disampaikan dalam jalur kesopanan. Bunga yang kembang mekar hendaklah ditilik dirisik terlebih dahulu. Apabila sah belum disunting maka bertandangkan rombongan merisik.
 

"Datang kami datang berhajat ingin memetik bunga di taman." Maka disambut si tuan rumah," Kalau kena dengan cara suntingan, kecil tapak tangan nyiru kami ditadahkan." Setelah pinangan diterima menyusul adat hantar tanda. Ibarat pepatah orang tua-tua "kerbau ditambat dengan tali, janji diikat dengan tanda." Justeru wajarlah sebentuk cincin pengikat kata." Lantas dihulurkan sebutir cincin belah rotan atau bertatah intan atau berlian.
 

Bagaimanapun sebelum itu dirundingkan segala hal-hal bersangkut-paut dengan hantaran; berapa mas kahwin yanng dikehendaki? Berapa belanja hangus. Apakah barang-barang yang dikehendaki waris si dara? Adakah hantaran ini mahu dibawa pada hari pertunangan atau langsung atau sebahagian pada hari bertunang dan bakinya pada hari pernikahan? Semuanya harus diputuskan sebelum menjelang hari pertunangan.
 

Membuka tabir budi bicara, berkatalah wakil pihak perempuan. "Hidup dikandung adat maka seperti yang kebiasaan begitulah kehendak kami. Tetapi besarlah hati kami jika selain dari sepersalinan dapat kiranya serba satu putih berdiri." Indah, halus dan penuh beralas. Hidup menjunjung adat bangsa Melayu kaya dengan kiasan. Permintaan diungkapkan dalam kata-kata indah dan manis, tidak kurang yang berpantun.
 

 

Perkahwinan dari segi perspektif Islam secara ringkas

Sesungguhnya, agama Islam menggalakkan setiap insan yang sempurna dan berkemampuan untuk mendirikan rumahtangga demi menjaga keharmonian masyarakat. Perkahwinan dapat memelihara seseorang daripada zina. Perkahwinan juga dapat menambah umat dan memelihara nasab keturunan. Ia telah menjadi sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
 

Islam telah menggariskan sekitar empat ciri utama pemilihan bakal isteri dan suami :

1. Pertama carilah yang cantik rupa parasnya.

2. Kedua, carilah yang mempunyai harta.

3. Ketiga carilah yang baik keturunannya

4. Keempat, carilah yang beriman.

Di antara keempat-empat ciri ini, yang beriman perlu diutamakan.
 

Kebiasaannya, setiap lelaki dan perempuan akan tertarik kepada rupa paras sebelum memikirkan hal-hal lain. Inilah lumrah semula jadi manusia. Bagi pihak orang tua pula, mereka kerap kali memikirkan tentang asal usul dan kewangan bakal menantu. Jarang sekali soal iman dititikberatkan.
 

Sesungguhnya anjuran Islam ada fadhilatnya. Rupa paras dan harta benda tidak kekal lama. Tetapi iman yang dipupuk dalam hati nurani mampu bertahan walaupun jasad telah dimamah usia. Orang yang beriman lebih tulus hatinya, lebih kuat sabarnya dan lebih mulia tingkah lakunya.
 

Secara umumnya, sebelum pasangan teruna dan dara bernikah, segalanya dipandang manis. Kelakuan yang tidak baik biasanya dipendam sedalam-dalamnya. Si teruna tidak mengetahui keburukan si dara dan sebaliknya. Semuanya nampak cantik kerana adanya orang ketiga yang sentiasa di samping iaitu syaitan. Tetapi setelah bernikah, apabila syaitan menjauhkan diri, mereka mula nampak tingkah laku sebenar masing-masing. Maka pada ketika ini, bermacam-macam masalah mula timbul. Itu tak kena, ini tak kena. Akhirnya mahligai bahagia menjadi neraka. Namun begitu, bagi orang yang beriman, segala kerenah dihadapi dengan sabar. Di sinilah kelebihan iman. Sebab itu, Islam menggalakkan anda memilih pasangan yang beriman sebagai kriteria utama pemilihan pasangan hidup agar mahligai bahagia kekal sentosa selamanya.
 

 

Prosedur Perkahwinan
Perkara penting sebelum anda menyediakan persiapan perkahwinan ialah memastikan anda telah mendapat kelulusan untuk berkahwin daripada Jabatan Agama kawasan anda, contoh: JAWI, JAIS, MAIK dan sebagainya. Tapi sebelum anda membuat permohonan untuk berkahwin, ada beberapa prosedur yang mesti diikuti.
 

1. Kursus Perkahwinan - Ada dua jenis kursus perkahwinan iaitu kursus yang dikendalikan oleh Jabatan Agama dan kursus oleh pihak swasta. Walaupun kedua-dua kursus ini hampir serupa tetapi anda dinasihatkan supaya mengambil kursus yang dikendalikan oleh Jabatan Agama kerana ia mungkin memudahkan langkah seterusnya. Bakal pengantin yang mengambil kursus swasta mungkin ditemu duga oleh Jabatan Agama ketika membuat permohonan berkahwin. Anda dinasihatkan pergi berkursus bersama-sama pasangan anda agar segala maklumat dan ilmu dapat dimengerti bersama. Apabila selesai berkursus yang biasanya mengambil masa dua hari, anda akan menerima Sijil Tamat Kursus yang boleh diambil di Jabatan Agama. Sijil ini sah sampai bila-bila.
 

2. Setelah menerima sijil, anda bolehlah mengisi borang permohonan berkahwin yang boleh didapati dari pejabat Jabatan Agama daerah anda mengikut kad pengenalan. Isikan lengkap dan sertakan bersama surat akuan bujang yang dimateri dengan cap syarikat tempat anda bekerja. Kemudian dapatkan tandatangan jurunikah atau wakil jurunikah atau ketua kariah tempat anda. Bawa bersama dua orang saksi semasa anda mendapatkan tandatangannya.
 

3. Serahkan borang yang telah lengkap kepada bakal pengantin perempuan. Pengantin perempuan juga perlu mengisi borang permohonan bernikah. Mereka hendaklah memohon di Jabatan Agama mengikut alamat dalam kad pengenalan. Selain dilampirkan dengan surat akuan bujang dan borang permohonan pengantin lelaki, pengantin perempuan perlu membawa bersama wali dan dua orang saksi ke pejabat Jabatan Agama ketika menyerahkan borang yang lengkap diisi. Bagi pengantin yang akan bernikah di tempat lain, mereka perlu merujuk pula kepada Jabatan Agama tempat tersebut.
 

4. Setelah kelulusan didapati, sila tetapkan tarikh akad nikah dengan jurunikah.
 

5. Setelah akad nikah dijalankan, sila serahkan gambar untuk urusan memohon sijil dan kad nikah.

 

Annikaahi Sunnati

Walimatul Urus

Perkahwinan merupakan satu ibadah yang amat mulia. Islam mengatur tatacara nikah  dan walimah dalam bentuk yang sangat sederhana. Hikmah walimah sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW iaitu:

        1. Bertujuan untuk melaksanakan ibadah

        2. Menghindari daripada perbuatan membazir

        3. Mengundang fakir miskin

 Tujuan Perkahwinan

Perkahwinan merupakan sifat atau tabiat manusia yang cenderung  untuk mengadakan hubungan sesama manusia. Allah telah menjadikan  hubungan perkahwinan sebagai Sunnah para Rasul di mana ianya  akan melahirkan rasa saling cinta-mencintai, sikap saling bekerjasama dengan kebaikan dan saling bantu membantu untuk mendidik keturunan.  Melalui perkahwinan juga, manusia akan dapat mengembangkan  keturunan dan memenuhi ketenteraman jiwa kerana perkahwinan yang  harmoni dan sesuai munurut tuntutan Ilahi merupakan tempat untuk  berehat dari segi rohani mahupun jasmani.

Perkahwinan adalah suatu peristiwa yang bersejarah di mana ianya tak mudah dilupakan bagi orang-orang yang beriman.

        IJAB - penyerahan tanggungjawab dari wali calon isteri kepada calon suami.

       QABUL - tanggungjawab dari calon suami atas penyerahan itu.

Sungguhpun kalimah ini pendek namun ianya mengandungi makna yang mendalam.

 

Hikmah Perkahwinan

Islam menekankan agar keluarga dan rumahtangga menjadi sebuah pelabuhan  yang aman, kukuh bagi setiap ahli keluarga. Ianya merupakan tempat untuk membincangkan semua  hal, samada perkara gembira ataupun kesulitan yang dihadapi. Rasa aman dan  perlindungan yang dirasakan oleh anak dalam keluarga akan memberi  kepadanya kepercayaan kepada diri sendiri dalam menghadapi berbagai  persoalan dalam hidupnya. Ibubapa adalah orang pertama yang diharapkan dapat memberikan bantuan dan petunjuk dalam menyelesaikan masalah anak.  Seorang ibu adalah lambang kasih sayang, ketenangan dan juga  ketenteraman.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Kaum lelaki (suami) adalah pemimpin bagi kaum wanita (isteri)  oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atau atas  sebahagian yang lain dan disebabkan kerana para suami telah  menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu isteri yang soleh ialah yang taat kepada Allah, lagi memelihara diri ketika suaminya tidak di tempat (sebagai rasa syukur) kerana Allah  telah memelihara mereka...” (An-Nisa’:34)

Rasulullah SAW telah menghuraikan makna ayat di atas bahawa, lelaki yang paling baik akhlaknya adalah lelaki yang paling menyayangi  isterinya. Walhal Baginda sendiri membantu isterinya dalam rumahtangga. Wanita yang paling baik adalah wanita yang menyenangkan hati  suaminya apabila suaminya memandangnya. Taat bila disuruh dan pandai menjaga kehormatan dirinya dan harta benda suaminya ketika suami tiada di rumah.

Perkahwinan yang disyariatkan Islam selain daripada sebagai   keperluan fizikal, ia juga bertujuan supaya manusia mempunyai  keluarga dan keturunan yang sah serta hidup bahagia di dunia dan  akhirat. Perkahwinan adalah tugas menunaikan amanah Allah, maka baik suami mahupun isteri, niat yang pertama adalah melaksanakan  tanggungjawab kepada Allah.

 

Friday, September 19, 2008

Hak Penjagaan ke Atas Anak Selepas Perceraian : Tanggungjawab Siapa?

Susunan MUNIRA SALLEH

“Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.” Perkahwinan adalah ikatan yang suci diantara suami dan isteri, namun disebabkan tiada lagi persefahaman maka ramai pasangan yang memilih jalan pintas untuk berpisah daripada duduk berbincang meleraikan kekusutan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Perbuatan halal yang sangat dibenci oleh Allah ialah talak (perceraian).” Perceraian dibenarkan dalam Islam atas sebab-sebab tertentu seperti suami isteri sudah tidak lagi bahagia hidup bersama disebabkan masalah komunikasi, penderaan fizikal atau emosi, masalah seksual atau tidak memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam berumahtangga sehingga menimbulkan pertelingkahan.

Islam menetapkan sekiranya memilih untuk bercerai, ia perlulah dilakukan dengan tertib dan beradab. Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 229 yang bermaksud: “Talak (yang dapat dirujuk dua kali). Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik.” Namun begitu, tidak ramai yang berbuat demikian. Kebanyakannya sanggup membuka pekung di dada, menceritakan keburukan pasangan hatta apa yang berlaku di dalam selimut pun sanggup diceritakan tanpa segan silu.

Malah yang lebih menyedihkan ialah apabila berlaku perceraian hak penjagaan anak seringkali menjadi rebutan dan nafkah anak tidak ditunaikan. Oleh sebab itu, bagi menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup anak agar dapat terus hidup dengan tenang dan gembira, penting bagi pasangan mengetahui tentang hadhanah (hak jagaan anak).

Hadhanah bermaksud pemeliharaan anak lelaki atau perempuan yang masih kecil yang belum boleh berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.

Dalam Islam, tanggungjawab memelihara anak terletak dibahu ibu bapa. Apabila berlaku perceraian, timbul persoalan siapakah yang akan memikul tanggungjawab tersebut.
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar:
“Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah saw dan bertanya: ´Ya Rasulullah, bahawa anakku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku´. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda: “Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain.” (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis ini jelas menetapkan bahawa anak pasangan yang bercerai lebih berhak berada di bawah jagaan ibunya berbanding ayahnya. Pertimbangannya adalah kerana tugas mendidik anak sesuai dengan sifat lahiriah ibu yang lebih penyayang, lebih tahu dan sabar mendidik dan mengasuh anaknya.

Menurut Seksyen 82 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (EUKIS) 2003, ibu adalah yang paling berhak berbanding segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

Namun begitu hak hadhanah yang diberikan kepada ibu boleh terlucut sekiranya si ibu tidak memenuhi salah satu syarat sepertimana berikut : “Dan syarat-syarat hadhanah itu tujuh perkara iaitu berakal, merdeka, beragama, lemah lembut, amanah, tidak bersuami dan bermukim. Sekiranya kurang salah satu syarat itu maka gugurlah hak hadhanah itu.”

Peruntukan Seksyen 83 EUKIS juga sejajar dengan maksud hadis di atas yang menyatakan bahawa seorang ibu itu akan hilang kelayakan menjaga anaknya jika dia berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian darah dengan kanak-kanak yang dijaga, ibu itu berkelakuan buruk yang keterlaluan dan terbuka, ibu itu sering bertukar tempat tinggal (tempat bermastautin) bagi menghalang bapa kanak-kanak tersebut menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, ibu itu murtad dan ibu itu didapati cuai dan menganiayai kanak-kanak tersebut.

Walaupun demikian, perlu dijelaskan bahawa walaupun ibu telah berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian darah dengan kanak-kanak yang dijaga, itu tidak bermakna hak jagaan anak akan berpindah kepada bapa kandung dengan mudah. Bekas suami perlu membuktikan bahawa perkahwinan semula bekas isterinya itu akan mengganggu anak mereka. Jika bekas suami ingin menggunakan mana-mana alasan di atas, mereka perlu mengemukakan bukti yang kukuh untuk dibawa ke mahkamah.

Apabila ibu hilang kelayakan menjaga maka hak jagaan anak itu berpindah kepada waris terdekat iaitu: nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya; bapa; nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya; kakak atau adik perempuan seibu sebapa; kakak atau adik perempuan seibu; kakak atau adik perempuan sebapa; anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa; anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu; anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa; ibu saudara sebelah ibu; ibu saudara sebelah bapa dan waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ´asabah atau residuari´.

Berapakah had umur anak yang boleh dijaga oleh ibu? Menurut hujah kitab Kifayah al-Akhyar, Juz 2, halaman 93: “Apabila mencerai seseorang lelaki akan isterinya dan ia mempunyai anak dengan isteri itu maka si isteri berhak memelihara anak itu sehingga anak itu berumur tujuh tahun (mumaiyiz).”

Fuqaha berselisih pendapat mengenai had umur mumaiyiz ini. Namun begitu, menurut kebiasaan, anak lelaki dianggap telah mumaiyiz apabila berumur tujuh tahun dan anak perempuan pula berumur sembilan tahun. Selepas itu anak diberi pilihan untuk memilih untuk tinggal bersama ibu atau bapa berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud: “Bahawa Rasulullah s.a.w telah menyuruh seorang anak yang telah mumaiyiz supaya memilih sama ada ibu atau bapa yang dia suka tinggal.”

Menurut Seksyen 84 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, dianggap belum mumaiyiz bagi kanak-kanak lelaki ialah dari bayi hingga berumur enam tahun. Manakala kanak-kanak perempuan pula dari bayi hingga berumur lapan tahun. Ini bermakna kanak-kanak lelaki yang telah berumur tujuh tahun dan kanak-kanak perempuan yang telah mencapai umur sembilan tahun dianggap mumaiyiz. Walau bagaimanapun dalam Seksyen 84 (2) keputusan yang dibuat oleh anak tidak mutlak kerana Mahkamah boleh memerintahkan keputusan yang berlawanan dengan pilihan anak.

Walaupun berlaku perceraian, hubungan di antara anak dengan ibu dan bapanya tidak terputus. Hubungan itu kekal sebagaimana kekalnya tanggungjawab bapa memberi nafkah kepada anaknya walaupun bapa tidak mendapat hak penjagaan anak tersebut. Ini termaktub dalam Seksyen 72 EUKIS. Nafkah termasuklah menyediakan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, pelajaran dan apa-apa keperluan anak tersebut.

Soal nafkah turut dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 233 di mana Allah berfirman yang bermaksud: “Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan juga seorang ayah karena anaknya, dan waris pun berkewajiban demikian…”

Perebutan untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas anak bagi pasangan yang bercerai tidak akan berlaku sekiranya mereka faham akan hak dan tanggungjawab masing-masing. Adalah baik sekiranya hak penjagaan anak dan nafkah mereka diselesaikan dengan cara yang tenang dan jelas sebelum perceraian difailkan di mahkamah.

Sekiranya ditakdirkan jodoh tidak panjang, mungkin ada hikmah disebaliknya. Janganlah rasa dendam dan marah pada pasangan dilepaskan pada anak yang tidak mengerti apa yang berlaku. Hak penjagaan anak perlulah diterima dengan rasa penuh tanggungjawab dan amanah untuk dilaksanakan.

Kebanyakan pasangan merasakan mereka perlu bersaing untuk mendapatkan hak penjagaan anak. Apabila hak tersebut diberikan, mereka menganggap ia satu kemenangan dan yang kalah tidak berpuas hati. Eloklah direnungkan pandangan Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh as-Sunnah Juz 8 halaman 219: ”Sesungguhnya setiap penjaga dan anak jagaan masing-masing mempunyai hak. Akan tetapi hak anak atau kemaslahatan anak lebih penting daripada hak penjaganya.”