Thursday, March 20, 2008

Panduan Mencari Baju Kahwin Idaman

Panduan Mencari Baju Kahwin Idaman
Tugas praperkahwinan yang tidak sabar dinantikan oleh bakal pengantin perempuan ialah memilih baju kahwin. Barangkali sesetengah telah membayang baju kahwin yang akan mereka gayakan sebaik sahaja si buah hati melamar. Cuma kemungkinan dek kerana dilambung ghairah, anda tidak mempertimbangkan samada khayalan itu praktikal atau tidak?
Jika anda tidak tahu di mana hendak bermula, dapatkan timbunan ilham daripada panduan yang kami kumpulkan sebagai panduan bagi memastikan saat bahagia dilalui dengan simbahan keseronokan, penuh riang dan gembira. Kumpulkan majalah perkahwinan yang menyorot isu perkahwinan untuk menimbulkan ilham dan mencari aliran potongan semasa yang sesuai serta jangan lupa senaraikan harga-harganya. Kini banyak majalah mengeluarkan senarai pakej perkahwinan dari segi pakaian, dandanan dan hotel. Jangan hanya melakukan urusan melaui telefon dan membuat keputusan sebelum temu janji. Dicadangkan anda luangkan masa beberapa hari berjalan-jalan di pusat membeli belah, masuk kedai-kedai yang berkaitan, melihat-lihat dan bertanya lebih lanjut. Jangan lupa mengacukan sebanyak mungkin potongan yang ada. Kebanyakan baju kahwin tidak nampak cantik di gantungan tetapi apabila dipakai cantik. Ketika mengacu jangan lupa lihat sisi dan belakang. Melalui cara di atas anda dapat mengagak anggaran peruntukan yang anda mampu. Pastikan anda buat anggaran setepat mungkin dan tentukan anda mengikut anggaran yang ditentukan. Berikan waktu yang panjang sebelum memutuskan potongan baju kahwin. Adalah bijak bermula dengan potongan asas, sama ada anda suka kurung Johor, kebaya longgar atau kurung moden. Dan sekiranya anda bercadang memilih gaun, anda suka potongan tradisional, lurus, keruk 'empire' atau keruk 'princess'? Kemudian tanyakan diri sama ada mahukan tathan labuci, manik atau sulaman? Justeru itu, jangan tempah di saat-saat akhir. Kebanyakan kedai mengharapkan tempahan dilakukan tiga empat bulan sebelum hari perkahwinan. Fikirkan samada anda mahu perkahwinan anda bertema. Misalnya konsep, warna, kain & gaya. Langkah ini secara tidak langsung akan memudahkan anda membuat pilihan pakaian. Apapun pilihan anda, pastikan ianya praktikal. Apabila anda menempah, anda ada dua pilihan. Sama ada menggunakan kain sendiri atau memilih kain di butik tempat menempah, kecuali anda menempah di kedai tukang jahit biasa. Kain baju kahwin tidak murah. Samada anda memilih renda Peranchis atau Swiss, sutera Itali atau China, organza atau organdy, tanyakan pada tukang jahit atau pereka anda berapa meter yang diperlukan untuk membuat baju anda. Jika peruntukan terhad, pertimbangkan menyewa baju kahwin. Jika tidak beli baju kahwin siap. Tetapi haruslah diingatkan bahawa baju kahwin siap tidaklah semurah mana dan kadang-kala tidaklah secantik mana. Sesetengah butik ada membuat baju yang dikhususkan untuk promosi. Baju ini digunakan untuk kegunaan peragaan dan penggambaran. Cuba tawar harganya. Dalam kegawatan ekonomi, banyak butik menawarkan pakej menarik . Dapatkan tawaran yang bagus. Jika anda tidak bercadang menyimpan baju kahwin anda (tak kira sama ada gaun, kurung atau kebaya) cuba tanya pereka atau butik anda sama ada mereka boleh tolong jualkannya sebagai pakaian terpakai selepas anda pakai. Jika tidak, anda boleh jualkan kepada kedai-kedai terpakai. Secara ini, ia boleh membantu kewangan anda. Tetapi pastikan baju anda dalam keadaan baik. Tonjolkan segala kelebihan anda, maksudnya paras rupa seperti ketinggian, pinggang ramping dan buah dad cantik. Pengantin tinggi tampak lampai dengan potongan langsing manakala pengantin yang rendah sepatutnya elakkan gaun kembang dan train, pilih perincian halus dan potongan lurus. Kalau anda memakai gaun, ketahuilah gaun bentuk V di pinggang membias tinggi. Sembunyikan lengan yang besar dengan berlengan panjang. Elakkan baju bercengkek bagi yang berpinggang tinggi. Sentiasa bawa seseorang (dua paling bagus) apabila anda pergi menempah dan mengacu baju kahwin. Dengan ditemani mereka, anda boleh mendengar komen dan mendengar pandangan mereka tatkala meyedang baju. Minta kerjasama pereka untuk mencuba bersama layah (veil) supaya anda dapat gambaran rupa keseluruhan baju kahwin anda. Umpamanya layah yang pendek mungkin boleh mengubah baju biasa kepada sesuatu yang biasa kepada sesuatu yang istimewa manakal layah labuh kemungkinan tidak sesuai. Pilih pakaian pengiring anda sepadan dengan perincian atau baju kahwin anda. Sekiranya anda mempunyai konsep atau tema, pastikan ianya selaras dengan pengiring anda. Fikirkan bentuk kasut. Baik bertumit tinggi atau rendah, ia akan memberi kesan berlainan kepada keseluruhan penampilan baju kahwin anda. Begitu juga warna dan jenis buatannya. Perlengkapkan gaya dengan perhiasan kemas. Subang, rantai, keronsang, butang baju kurung, gelang tangan dan gelang kaki boleh menaikkan seri penampilan. Bagaimanapuun ia akan menambah perbelanjaan. Sekiranya anda tidak mampu membeli, pertimbangkan meminjam daripada adik-beradik, saudara-mara ataupun teman rapat. Atau sewa daripada mak andam atau butik anda. Selepas selesai majlis perkahwinan, pastikan baju dihantar untuk cucian kering dan simpan ia dengan baik dalam kotak atau gantungkan ia di dalam sarung baju.

Artikel oleh : cempaka_biru

No comments: